Fandy
(Andre Stinky) seorang pemuda yang berasal dari
Indonesia tetapi telah dibesarkan di Amerika Syarikat.
Setelah kembali ke negara asalnya, gaya hidup
dan pergaulannya sangat kebaratan. Kekayaan bapanya
membuatkan Fandy hidup mewah dan menbuhkan sebuah
band rock bernama Donkol.
Suatu
hari, setelah selesai berlatih, ketika sedang
melalui sebuah perkampungan dengan menunggang
motosikal, satu insiden telah berlaku. Secara
tidak sengaja, mukanya terkena lemparan ais krim
dari seorang kanak-kanak. Ketika Fandy membasuh
mukanya di sebuah surau, kasutnya telah dicuri
oleh Saprol (Dwiki Reza), seorang kanak-kanak
dari kampong tersebut.
Fandy
mengejar Saprol dan terhenti apabila Saprol berlari
dan bersembunyi di sebuah rumah. Fandy tidak lagi
memarahi Saprol apabila terlihat seorang gadis
bertudung litup sedang menjemur pakaian iaitu
Sarah (Ayu Pratiwi). Fandy menyangka Saprol adik
Sarah tetapi silap. Sarah adalah anak Haji Romli
(Deddy Mizwar) seorang duda yang sangat alim dan
mempunyai pandangan berbeza tentang cinta dan
perkahwinan berbanding orang lain termasuk Fandy
dan keluarganya.
Fandy
cuba melamar Sarah tetapi dikenakan bebarapa syarat
oleh Haji Romli. Fandy yang sangat jahil tentang
agama diminta belajar bersolat dan membaca Al-Quran
sehingga pandai. Orang yang mengajarnya tidak
lain dan tidak bukan ialah Saprol, kanak-kanak
yang pernah mencuri kasutnya. Bukan sekadar itu,
Fandy diminta mempelajari ilmu ikhlas. Dalam waktu
yang sama, Sarah bakal dikahwinkan dengan anak
kawan baik Haji Romli yang sedang menuntut di
sebuah universiti di Mesir dalam bidang agama.
Usaha
keras Fandy dan pertembungan dua budaya yang sangat
berbeza ini telah membuatkan filem ini sangat
menarik dan mampu menghiburkan penonton segenap
lapisan umur. Mampukah Fandy memenuhi semua syarat
tersebut kerana cintanya kepada Sarah? Perubahan
gaya hidup Fandy telah menimbulkan rasa hairan
di hati keluarga dan kawan-kawannya. Apabila ditanya,
Fandy terus menjawab; KIAMAT SUDAH DEKAT MAN…!